Wednesday, October 27, 2010

JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN

     
      Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam disampaikan kepada junjungan  Nabi Muhammad SAW keluarga dan Sahabat-Sahabat baginda. Terlebih dahulu, sekalung penghargaan buat Encik Amran Aris di atas segala penat lelah beliau membimbing kami dan mencurahkan ilmu selama 14 minggu yang lalu. 
     Mengimbau kembali minggu yang sudah, pelbagai ilmu dan pengalaman dapat dipelajari dalam kursus SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia ini. Pengajaran yang paling berharga dan saya kira sebagai satu inovasi dalam pendidikan Muzik adalah kaedah menggunakan Perkhidmatan Blogger.Com. Melalui kaedah yang diperkenalkan oleh Encik Amran Aris ini seharusnya pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan. Melalui kaedah ini juga beliau sebagai pensyarah akan memantau aktiviti yang melibatkan perkongsian maklumat dan interaksi di antara komuniti agar perkhidmatan ini membentuk satu interaksi yang lebih "ilmiah" dan boleh dijadikan rujukan kepada masyarakat di luar sana.
      Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang akan cuba saya terangkan bagi meningkatkan mutu pelaksanaan proses Pengajaran & Pembelajaran Muzik Tradisional Malaysia ini. Perkara penting yang harus diambil tahu adalah berkaitan situasi atau keadaan persekitaran pelajar dari segi infrastruktur yang membekalkan capaian jalur lebar. Bagi saya adalah menjadi satu “cabaran” untuk menggunakan Perkhidmatan Blogger.Com. Hal ini kerana, capaian jalur lebar di kawasan persekitaran seperti di kawasan kediaman dan juga kampus agak terhad. Tuntutan jurnal dan soalan setiap minggu yang pada asalnya bertujuan untuk membantu saya, kini bertukar menjadi beban apabila terpaksa mengejar tarikh akhir “post”. Walaupun pada hakikatnya, jurnal dan soalan tersebut adalah dalam lingkungan kandungan pembelajaran dalam kelas minggu tersebut. Keadaan ditambah lagi dengan tuntutan tugasan dan kerja (Pembentangan kumpulan & Individu, penyelidikan, lawatan dll) yang banyak pada semester ini. Mengikut perhitungan saya, terdapat lebih kurang 24 tugasan/kerja termasuk pembentangan kumpulan & individu, tugasan kumpulan & individu. Jumlah ini ditambah dengan jumlah jurnal setiap minggu sebanyak 13 dan soalan mingguan sebanyak 9 yang menjadikan jumlah keseluruhan lebih kurang 47.
            Saya sedar sebagai mahasiswa/I perkara tersebut sudah menjadi tanggungjawab yang wajib dipikul. Tetapi persoalannya, Apakah sebenarnya yang menjadi asas kepada penilaian bagi melahirkan seorang mahasiswa/I yang baik dalam erti kata bermutu? Adakah “Kualiti atau Kuantiti” semata. Mungkin kita sama-sama dapat fikirkan sesuatu bagi menambah baik keadaan ini. Pada pandangan peribadi saya sendiri, tiada “ruang” dalam erti kata ruang sebenar-benar ruang bagi pelajar mengasah potensi diri. Hal ini kerana ‘jasad’ terpaksa menunaikan tuntutan-tuntutan tugasan dan kerja yang ada. Dia akhir nanti, kita sudah dapat jangkakan dan menilai jenis graduan yang dihasilkan oleh Universiti berdasarkan kepada hasil kerja yang diberikan. Selain itu, bagi saya ia merupakan satu cabaran bat kami dari Program Pengajian Malaysia yang pada dasarnya tidak mempunyai asas berkaitan muzik itu sendiri. Pada pengamatan saya, moleklah kiranya ada minggu “pengampunan”  di mana pelajar diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan seperti kelewatan menghantar Jurnal atau soalan kesan daripada proses penyesuaian diri pada awal minggu kuliah dahulu. Hal ini kerana markah juga akan diambil berdasarkan jurnal dan soalan yang di “post” seawal minggu kuliah dahulu.
            Jika dilihat dari sudut positif, kursus Muzik Tradisional Malaysia sebenarnya merupakan satu kelebihan atau satu “Nilai Tambah” kepada saya sebagai pelajar Pengajian Malaysia. Hal ini kerana secara tidak langsung, saya juga dapat mengenali budaya dan warisan bangsa sendiri. Selain itu, saya juga dapat memperoleh latihan dan bimbingan untuk membina dan menggunakan Perkhidmatan Blogger.Com sebagai pembelajaran yang interaktif yang mungkin akan di gunakan di masa akan datang kelak.
            Dari segi susunan kandungan kursus ini yang dirangka, bagi saya adalah di antara kerangka kursus yang terbaik. Segala penerangan pengisian serta keperluan pengetahuan adalah cukup jelas dan dapat membantu pelajar untuk bersedia. Ia mudah diikuti secara teorinya kerana dalam kerangka kursus tersebut turut disertakan rujukan bagi pelajar.
            Terdapat kolaboratif di kalangan pelajar dengan pensyarah dan juga pelajar dengan pelajar sendiri baik di dalam kelas mahupun menggunakan perkhidmatan Blogger.com. Keadaan ini menjadikan pembelajaran menjadi lebih praktikal (sekiranya capaian jalur lebar adalah dalam keadaan yang baik).
            Pendekatan pengajaran yang diguna pakai oleh Encik Amran Aris selaku pensyarah bagi saya adalah di tahap yang maksimum. Usaha Encik Amran Aris dalam membantu kami menunjukkan kesungguhan beliau menjadikan kami mahasiswa/I yang jauh lebih baik. Dalam istilah lain ia disebut sebagai usaha yang “all out”. Pendekatan seperti penggunaan teks, Audio, Video dan imej yang disusuli penerangan di dalam sesi pengajaran beliau menjadikan sesi tersebut menjadi efektif dan menyeronokkan. Kurang kadar tekanan yang dialami. Perbincangan secara Asynchronous di weblog pensyarah juga memberi peluang kepada kami untuk bertanya dan memberi pandangan.
            Bagi pembentangan kumpulan pula, secara keseluruhannya berada di tahap yang baik. Banyak ilmu yang dapat dikongsi bersama melalui perkongsian pengalaman semasa kajian lapangan dan juga perkongsian ilmu semasa pembentangan.
            Tahniah diucapkan kepada Encik Amran di atas inisiatif membangunkan/memperkenalkan satu kaedah pembelajaran dan pengajaran yang lebih inovasi dalam mempersiapkan diri menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Ia sejajar dengan matlamat yang telah digariskan dalam Wawasan 2020. Namun begitu tanpa sokongan dari pelbagai pihak terutamanya pihak yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan bagi capaian “jalur lebar” ini, belum tentu hasrat dan usaha murni seperti ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
            Buat sahabat-sahabat semua terima kasih di atas segala tunjuk ajar dan juga bimbingan sepanjang pengajian kita bersama. Di kesempatan ini, saya memohon sepuluh jari memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan yang disengajakan atau pun tidak disengajakan tanpa disedari.  Kenangan manis mengukir sejarah bersama kalian tidak akan dilupakan. Semoga kalian sentiasa maju dan berjaya dalam apa jua yang kalian usahakan. Amin…..

Muzik Tradisional Malaysia berinovasi
Memantapkan pengetahuan hingga ke hujung
Kitalah pewaris penyambung generasi
Adat Dijunjung, Budaya Disanjung

Kanak-kanak bermain di sawah
Bermain girang hingga ke senja
Wahai sahabat ku marilah bersama
Menimba ilmu tanpa berputus asa.

Hasil Nukilanku

Sunday, October 17, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-12

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tahniah di ucapkan kepada semua kumpulan di atas kejayaan menyiapkan tugasan yang diberikan. Bagi yang telah turun padang bagi memungut data untuk dimuatkan di dalam pembentangan, sekalung penghargaan diucapkan di atas keikhlasan perkongsian ilmu yang kalian diberikan. Pembentangan dari kumpulan Opera Cina. Melalui pembentangan ini, pelbagai maklumat yang dapat dikongsi bersama seperti sejarah Opera Cina, alat muzik yang mengiringi opera ini. Apa yang paling penting adalah, memahami nilai estetika yang terdapat pada Opera Cina ini. Walaupun sedikit kurang terperinci, namun begitu pembentangan ini sangat menarik, kerana jarang diperkatakan tentang Opera Cina. Begitu juga dengan wayang Po Te Hi. Po Te Hi ini sangat menarik kerana ia adalah satu-satunya persembahan yang dipersembahkan menggunakan jari jemari. Pembentangan yang kedua adalah mengenai muzik Sabah dan Sarawak.  
Sebenarnya dalam pembentangan ini, terdapatnya fakta yang sedikit mengelirukan. Hal ini kerana apa yang saya faham, sebelum memulakan permainan@ muzik di Sabah, tiada sebarang bacaan mentera@ritual bagi memulainya. Muzik dan ritaul adalah diasingkan dalam sesuatu majlis keraian. Apapun tahniah buat kumpulan ini.

Saturday, October 9, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE - 11

Hari ini kami dipersembahkan dengan pembentangan Muzik Ghazal dan Ghazal Parti. Seperti yang kita sedia maklum, Muzik Ghazal terkenal di negeri Johor. Pak Lomak yang dikenali sebagai bapa Ghazal merupakan seorang yang bertanggungjawab mengangkat martabat Muzik Ghazal Johor. Pak Lomak banyak menubuhkan kumpulan – kumpulan Ghazal di Johor. Melalui pembentangan ini, barulah saya mengetahui dengan jelas bahawa muzik Ghazal Johor tidak mempunyai tarian. Apa yang biasa saya saksikan dalam persembahan Ghazal itu adalah tarian zapin. Instrumen Ghazal Johor hanya mengiringi tarian tersebut. Dalam pembentangan itu juga, pembentang ada mengatakan bahawa “penyanyi bersila dan pemain bertimpuh” namun begitu terdapat kekeliruan dan persoalan. Adakah pemain itu mampu bermain dengan baik sekiranya dalam keadaan bertimpuh? Bagi saya secara peribadi, mungkin pembentang telah tersilap memadankan. Jika kita lihat video ghazal Johor, kelihatan pemain duduk dalam keadaan bersila, manakala penyanyi duduk bertimpuh. Ghazal Parti pula berbeza dengan Ghazal Johor. Jenis instrumen ini mengandungi unsur tarian, jenaka, muzik, lagu dan nasihat. Ghazal Parti ini terkenal di Utara Malaysia terutamanya di Pulau Pinang. Gaya bahasa yang digunakan cenderung kepada dialek utara iaitu dialek Kedah dan Pulau Pinang. Secara tuntasnya, penerangan kumpulan ini baik dan berkesan. Semoga semuanya mendapat manfaat dari perkongsian ilmu ini. Selamat membaca !!!

Monday, October 4, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-10

Assalamua’laikum.. pada kuliah minggu ke 10, kami disajikan dengan persembahan dari kumpulan yang membentangkan tentang Muzik dan Okestra klasik India. Secara jujurnya, sebelum memasuki kelas ini, saya langsung tidak mengetahui tentang keindahan seni muzik klasik India dan ketinggian nilai irama/muzik klasik India. Apa yang saya tahu, jika dikaitkan dengan muzik India pasti terbayang akan lagu-lagu ataupun filem-filem lakonan barisan pelakon hebat dari India seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Rani Mukarjie, Juhi Chaula dan ramai lagi. Namun selepas menyaksikan pembentangan muzik klasik India, barulah saya perasan yang negara kita Malaysia ini sebenarnya sangat kaya dengan budayanya yang berbilang kaum. Namun begitu, memandangkan saya baru diperkenalkan dengan muzik India dan ditambah lagi dengan fakta yang terlalu banyak, saya sedikit keliru dengan kedudukan muzik klasik ini di Malaysia, terutamanya dari segi pemilikan bentuk lagu dan juga bentuk irama yang dipersembahkan. Saya kurang memahami mungkin kerana saya tidak mengetahui falsafah muzik itu sendiri. Saya hanya dapat menikmati muzik yang diperdengarkan, namun saya masih belum mampu untuk menyenaraikan atau mengkatogerikan muzik tersebut. Apapun, saya mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli kumpulan yang membentang kerana saya beranggapan tugasan ini memang sukar untuk di siapkan. Tahniah....

Sunday, September 26, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-9

Mak Yong dikatogerikan dalam Drama Tari/Seni Lakon. Ia mengandungi unsur-unsur ritual, lakonan, tarian, muzik, lagu, cerita dan teks percakapan formal dan bersahaja. Biasanya, Mak Yong dipersembahkan adalah untuk upacara Sembah Guru dan hiburan semata. Namun begitu, Mak Yong juga digunakan sebagai salah satu cara perubatan lama (musictherapy). Seni Lakon ini dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Namun begitu usia Sebenar tidak dikenal Pasti. Menurut Hikayat Patani, Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Terdapat 7 jenis persembahan Mak Yong yang pernah wujud, iaitu:
a) Mak Yong Patani
b) Mak Yong Kelantan
c) Mak Yong Kedah
d) Mak Yong Laut
e) Mak Yong Riau
f) Mak Yong Medan
g) Mak Yong Kalimantan

Watak-watak asas dalam seni Lakon ini adalah seperti Pak Yong, Mak Yong, Peran, Dayang atau Inang, Dewa, Tok WaK, Jin, dan Watak Binatang. Manakala Alat Muzik Utama Mak Yong pula adalah seperti Rebab tiga tali, Sepasang gendang dan Sepasang tetawak. Selain itu Gendang, Canang, Kesi, dan Serunai turut digunakan. Persembahan dibuat secara gerak tari berkeliling. Dimulakan dengan acara Buka Panggung, dikuti dengan bertabuh, Menghadap Rebab, Sedayung Pak Yong, Sedayung Mak Yong, Ziarah Bilik Pengasuh (Sedayung Panggil Awang), Berkhabar, Ello atau Wok dan seterusnya sebarang lagu atau tari mengikut cerita yang dipentaskan. Persembahan di tamatkan dengan Tutup Panggung. Terdapat tidak kurang daripada 50 buah lagu Mak Yong. Namun mereka yang mengetahui dan boleh menyanyikannya semakin berkurangan. Generasi pelapis tidak seharusnya terus menerus membiarkan seni lakon ini ditelan dek zaman. Usaha berterusan harus dipupuk agar Drama Seni Mak Yong tetap teguh menongkah arus pemodenan. Selain itu, usaha dan sokongan dari pelbagai pihak baik dari segi material mahupun motivasi amat diperlukan bagi meneruskan legasi Mak Yong ini.

Tuesday, August 31, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-8

Boria merupakan salah satu acara keagamaan pada suatu ketika dulu. Namun begitu rentetan dari arus pemodenan yang mencantas membuatkan ia kini lebih dikenali sebagai alat hiburan semata-mata. Boria merupakan sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi (peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian). Diperkenalkan oleh golongan Syiah. Boria merangkumi dua segmen yakni lakonan dan nyayian. Jumlah pemain biasanya ada 6 orang. Sarjana berpendapat bahawa perkataan ‘boria’ berasal dari perkataaan Hindustan yang beramksud ‘tikar’. Anggota seramai 40 hingga 60 org termasuk tauke(penaja), tukang karang, kelasi dan pemuzik. Tukang karang memainkan peranan penting dalam memainkan lagu dan merupakan nadi utama dalam boria. Boria biasanya dipersembahan secara terbuka seperti di perkarangan rumah, namun begitu kini boria dipersembahkan di dalam studio. Besarlah harapan agar hiburan sebegini yang dapat memberi manfaat kepada pendengar dapat diteruskan dalam mendidik masyarakat sambil berhibur.

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-7

Minggu ke 7 ini merupakan minggu pembentangan bagi kumpulan satu. Debaran demi debaran dirasai sebelum kami mempersembahkan hasil kerja yang bertajuk Sejarah Muzik Tradisional Di Malaysia. Alhamdulillah tugasan yang diberikan dapat kami laksanakan mengikut ketetapan masa yang diperuntukkan. Sepanjang tempoh penggalian ilmu tentang sejarah muzik tradisional Malaysia, banyak perkara baru yang dapat saya pelajari dan ketahui. Jika dahulu saya langsung tidak mengetahui beberapa asal-usul alat muzik yang ada di Malaysia pada hari ini, dan saya juga tidak mengetahui bagaimana alat muzik tersebut masuk ke dalam negara ini. Namun begitu, kini saya dapat mengetahui asal-usul alat muzik yang digunakan sebagai contoh, spanish guitar atau sekarang lebih dikenali sebagai gitar tong yang dibawa masuk oleh Portugis. Selepas itu, tamborin, biola dan clavichord/virginal (seakan akordian) dibawa masuk ke tanah melayu. Alat-alat ini dapat kita lihat mengiringi ghazal pada hari ini. Selepas Portugis keluar, Belanda pula telah masuk ke Tanah Melayu bersama-sama budaya dan muzik mereka. Diantara peralatan muzik yang dibawa bersama adalah seperti mandolin, banjolin dan chittara/gittern (seperti gitar tetapi ada lima tali yang di lapis dua seperti gitar klasik.)

Zikir boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan kebiasaanya dalam bentuk majlis dan pertandingan. Zikir dipercayai mempunyai pengaruh besar dari Timur Tengah seiring dengan kemasukan Islam ke Tanah Melayu. Pengertian zikir adalah memperingati Allah. Ianya merupakan rangkaian iman yang diperintahkan supaya manusia sentiasa memperingati Allah. Zikir terbahagi kepada dua iaitu zikir qalbi dan zikir lisani. Diharapkan melalui pembentangan minggu ke-7 ini bukan sahaja memberi manfaat untuk kita didunia, bahkan diakhirat kelak. ~ Salam Ramadhan ~

Monday, August 30, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-6


Sebelum saya memasuki kelas pada minggu 6 ini, saya langsung tidak mengetahui tentang Makyung. Makyung yang mengisahkan penceritaan ini merupakan kategori bentuk seni lakon kuno yang berasal dari Patani. Tujuan seni lakon ini dipersembahkan bolehlah dibahagikan kepada dua kategori yakni Tujuan Ritual dan Tujuan Persembahan seperti Theater In The Round. Diantara lagu Makyung yang biasa dipersembahkan adalah seperti Menghadap Rebab, Kijang Mas dan Lagu Sindung. Manakala alat muzik yang mengiringan persembahan Makyung adalah seperti sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab 3 tali. Irama Makyung menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting) dan hampir semua lagui Makyung bertempok agak perlahan.
Kompang yang berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat (Timur Tengah) ini, sangat sinonim dengan majlis perkahwinan. Namun begitu persembahan kompang juga dapat kita saksikan pada majlis-majlis rasmi yang lain. Alat muzik kompang terdiri daripada bahagian yang penting seperti belulang yang diperbuat dari kulit kambing betina. Selain itu, ia juga terdiri daripada belulang baluh yang diperbuat daripada kayu nangka. Walaupun saya bukan merupakan pelajar muzik, namun serba sedikit saya dapat mengetahui tentang rentak seperti rentak Inang Asas, Masri dan rentak Asli Asas.
“Adat Dijunjung,Budaya Disanjung"

Wednesday, August 11, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE- 5

Muzik Gamelan pada kebiasaannya digunakan di dalam majlis rasmi seperti Konvokesyen. Sebelum mempelajari muzik gamelan dan caklempong pada kuliah minggu 5 ini, saya tidak mengetahui secara spesifik berkaitan jenis muzik tersebut. Ini termasuklah sejarah, alat muzik, sistem tonal, melodi dan bentuk gamelan/caklempong. Begitu  juga jenis-jenis gamelan seperti gamelan jawa dan gamelan melayu yang mempunyai perbezaan dari segi penggunaan alat muzik (Gamelan Jawa ada menggunakan demung,kempol). Dalam kuliah minggu ke-5 ini juga, saya berpeluang untuk menggunakan alat-alat muzik gamelan yang begitu menarik. Pendekatan yang sewajarnya harus dilakukan bagi menarik minat golongan muda terutamanya untuk mendekati muzik gamelan yang merupakan khazanah negara yang tidak terhingga nilainya.  

Wednesday, August 4, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-4

Wayang Kulit? Apabila memperkatakan tentang waang kulit, apa yang dapat saya gambarkan adalah satu bentuk hiburan yang  popular pada zaman dahulu. Mungkin kerana kemunculan teknologi seperti televisyen, menjadikan masyarakat hari ini semakin melupai seni lakon wayang kulit ini. Selepas menghadiri kuliah dan mendengar penerangan dari En.Amran yang begitu arif tentang seni lakon ini, barulah saya dapat memahami bahawa seni itu tidak hanya terbatas kerana waktu. Kini, konsep yang digunapakai dalam wayang kulit telah diberikan nafas baru bagi menarik minat masyarakat kini. Ini dapat saya lihat pada tayangan Video 1,2,3 dan 4 yang diperlihatkan di dalam sesi kuliah. Pelbagai "messages" yang dapat disampaikan, dan bagi menarik minat golongan muda terutamanya, saya berpendapat agar cerita yang disampaikan tidaklah terlalu berat, biarlah ia berbentuk santai dan mudah difahami.

Monday, August 2, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-3

Pada sesi kuliah minggu ke-3 ini, telah memperlihatkan saya kepada dunia sebenar muzik tradisional yang ada di Malaysia khususnya. Hal ini dapat diperjelaskan melalui klasifikasi alat muzik yang baru saya ketahui. Melalui sesi kuliah minggu ke-3 ini juga, saya dapat mengenali dan mengetahui ciri-ciri Muzik Tradisional Malaysia seperti : Bentuk Seni Lakon Utama, Bentuk Tarian Utama, Ensembel Genderang, Vokal & Instrumental Solo, Ensembel Sosial Popular dan Emsembel Lain. Begitu juga dengan kategori utama muzik seperti Muzik Rakyat, Muzik klasik, Muzik Sinkretik, Muzik Komtemp. Muzik akan menjadi indah apabila dihayati serta difahami dengan lebih mendalam.

BIODATA

Nama : Haslina Binti Muhammad Yunus
No Matriks : D20072031616
Program : Pengajian Malaysia dengan Pendidikan
Kumpulan : A
Semester : Enam (6) / Semester 1 2010/2011
Subjek : SMP 2252 – Muzik Tradisional Malaysia
Email : haslinaku86@gmail.com
Alamat Blog : http://smp2252haslina.blogspot.com/
Negeri Asal : Sabah

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-2

Melalui sesi kuliah minggu ke-2 ini, pelbagai informasi terbaru yang dapat saya ketahui mengenai Muzik Tradisional Malaysia, seperti definisi Soundscape, Budaya Muzik, Sejarah, Kategori Alat Muzik dan juga Konsep/Struktur Muzik. Jika sebelum ini, saya hanya menikmati irama muzik apabila mendengarnya, namun berlainan pela keadaannya setelah saya mengikuti sesi pengajaran Muzik Tradisional Malaysia. Kini, selain menikmati alunan muzik yang telah disusun indah mengikut ritma dan iramanya, saya juga dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai unsur-unsur yang mempengaruhi muzik tersebut seperti alat-alat muzik yang digunakan bagi menghasilkan sesebuah irama muzik yang indah.Sebagai contoh muzik keroncong.

LinkWithin

 

Blog Pelajar Kumpulan A

  • SOAL SELIDIK PENDEKATAN P&P PENSYARAH SMP2252 - Salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi memberikan kerjasama untuk mengisi soal selidik ini. Ianya mengandungi 8 soalan pilihan dan 4 soalan terbuka. B...
    13 years ago
  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    14 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir da...
    14 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.. Setelah 14 minggu mengikuti kursus muzik tradisional malaysia,saya dapat membuat kesimpulan bahawa kuliah ini banyak...
    14 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir dan menandakan berakhirnya kuliah pada minggu k...
    14 years ago
  • Jurnal Refleksi Minggu 14 - Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kuliah pada minggu 14 ini adalah berkenaan dengan muzik tarian singa. Dalam tajuk ini beberapa perkara telah dibinca...
    14 years ago
  • minggu 14 : Jurnal Refleksi - Assalamualaikum dan salam muhibah semua... Pada minggu ini, pembentangan diteruskan dengan tajuk 'tarian singa'. Tarian singa ini adalah satu adat warisan...
    14 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    14 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu yang terakhir bagi kelas SMP 2252. Terdapat banyak perkara baru yang diperoleh selama 14 minggu menye...
    14 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    14 years ago
  • MINGGU 13:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum. Setiap perjalanan hidup adalah pengalaman. Setiap pengalaman itu adalah pengetahuan. Setiap pengetahuan bermakna kepandaian dan setiap ke...
    14 years ago
  • MINGGU14: JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera..... Sedar tak sedar, diam tak diam , akhirnya kita telah berada di minggu yang terakhir kuliah bagi semester 1 sesi 20...
    14 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    14 years ago
  • Minggu 11 : Jurnal Refleksi - Assalamualaikum.... Pada minggu ini, kumpulan yang terbabit membentangkan mengenai tajuk Ghazal. Pembentangan kali ini adalah untuk kali yang kedua buat kum...
    14 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    14 years ago
  • BIODATA - NAMA : MOHAMAD KHAZIL BIN WASLI NO.MATRIK : D20072031485 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252-MALAYSIAN...
    14 years ago

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan B

SMP2252 HASLINA MUHAMMAD YUNUS Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template